Dia Mirza ingin realisasikan sekuel "Rehnaa Hai Terre Dil Mein" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Dia Mirza ingin realisasikan sekuel "Rehnaa Hai Terre Dil Mein"

Penulis: Nisa Irina

Dia Mirza akan usaha sebaik mungkin untuk memenuhi permintaan para peminatnya.
Dia Mirza akan usaha sebaik mungkin untuk memenuhi permintaan para peminatnya.

Aktres Dia Mirza memberi petunjuk bahawa sekuel filemnya bersama R. Madhavan dan Saif Ali Khan, "Rehnaa Hai Terre Dil Mein" (2001) berkemungkinan akan direalisasikan.

Dia memberitahu perkara itu ketika dia mengadakan bual bicara bersama R. Madhavan secara langsung menerusi Instagram baru-baru ini, sekaligus menandakan pertemuan semula mereka selepas 19 tahun.

"Saya tahu ramai yang ingin melihat kami bergandingan semula di skrin lebar. Sudah 19 tahun dan orang ramai masih membanjiri ruangan media sosial saya dengan lagu-lagu, dialog dan babak dari filem itu.

"Kami akan cuba yang terbaik untuk merealisasikan sekuel filem ini tetapi kami hanya akan bekerjasama apabila kami mampu beri persembahan terbaik," katanya yang dipetik dari Bollywood Hungama.

Menerusi filem arahan Gautham Menon itu, Dia dan R. Madhavan telah menjayakan watak pasangan kekasih Reena dan Maddy, sementara Saif pula membawa watak Rajeev, yang menetap di Amerika Syarikat.

Menurut Dia lagi, dia menganggap Reena dan Maddy sebagai dua watak yang istimewa, tambahan lagi keserasian yang dikongsi bersama R. Madhavan dalam filem itu sehingga ia kekal terpahat di hati orang ramai.

Biarpun kutipan filem "Rehnaa Hai Terre Dil Mein" kurang memberangsangkan selepas ia dirilis, namun sehingga kini filem itu terkenal dalam kalangan belia.

Malah filem itu juga menjadi titik permulaan populariti Dia dalam dunia Bollywood apabila dia tercalon dan memenangi beberapa anugerah termasuk Anugerah Skrin dan Anugerah Zee Cine.

Dalam perkembangan lain, kali terakhir Dia dilihat berlakon di layar perak adalah menerusi filem terbitan Bhushan Kumar, "Thappad", yang turut dibintangi aktres Taapsee Pannu.

(Sumber: Bollywood Hungama)
(Sumber foto: Fashion Central & Amazon India)

Cinema Online, 23 Mei 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan